Hanafiah Mat
Hanafiah Mat
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Sejumlah RM3.9 juta diperuntukkan kerajaan sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka pertengahan bulan ini.

Daripada jumlah itu, RM2.4 juta peruntukan disediakan kerajaan Persekutuan, manakala bakinya iaitu RM1.5 juta peruntukan daripada kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, sebanyak 590 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang mampu memuatkan 147,590 mangsa bencana banjir disediakan di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu katanya, 21 PPS besar yang mampu memuatkan 47,900 mangsa banjir, 76 PPS berkapasiti sederhana yang menampung 41,850 mangsa disediakan.

"Kerajaan juga turut menyediakan 493 PPS berkapasiti kecil yang mampu memuatkan kira 57,840 mangsa banjir," katanya ketika dihubungi selepas mendengar taklimat kesiapsiagaan jawatankuasa bencana menghadapi MTL, hari ini.

Mengulas lanjut, Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana) berkata, sebanyak 21 pembekal berskala besar dan 64 pembekal berskala sederhana di seluruh negeri dilantik untuk membekal pelbagai barangan, termasuk barangan keperluan asas.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri juga sudah membuat penghantaran bekalan barangan keperluan ke 162 pangkalan hadapan di seluruh negeri, termasuk ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

"Antara barangan keperluan yang dihantar ke pangkalan hadapan di seluruh negeri adalah beras, gula, biskut, serbuk kopi dan teh, minyak masak, garam, sardin serta tepung gandum," katanya.

Hanafiah berkata, turut dihantar ke pangkalan hadapan adalah tikar, selimut serta bantal dan proses penghantaran semua barangan keperluan bencana sudah siap diagihkan ke 14 mini depoh di seluruh negeri pada Ahad lalu.

Katanya, semua agensi kerajaan pusat dan negeri sudah bersiap siaga menghadapi bencana banjir yang dijangka akan berlaku pertengahan bulan ini termasuk bilik gerakan bencana negeri dan daerah.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 1:10 PM