Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) yang juga Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali merasmikan pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) daerah Pitas hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) yang juga Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali merasmikan pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) daerah Pitas hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Pitas: Sebanyak 8,841 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu memuatkan lebih 2.1 juta mangsa banjir, disediakan bagi menghadapi banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) melanda negara yang diramal bermula bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata daripada jumlah itu, 332 PPS yang mampu memuatkan 129,096 orang disediakan di Sabah.

"Kita mahu ambil tindakan proaktif dalam tindakan bencana negara, setiap tahun sebelum bencana kita buat persediaan termasuk komponen penting penyediaan PPS.

"Kita mahu bersiap siaga bagi hadapi sebarang kemungkinan pada MTL ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) Daerah Pitas dan meninjau Program Jualan Rahmah di sini hari ini.

Pada 7 November, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata empat hingga enam episod hujan lebat diramal berlaku sepanjang musim MTL yang diramal bermula 11 November dan berterusan sehingga Mac 2024.

Sementara itu, Armizan berkata pembinaan PPKB Daerah Pitas adalah pertama seumpamanya di Sabah dan salah satu daripada sembilan PPKB yang bakal dibina oleh kerajaan Persekutuan seperti diumumkan dalam Belanjawan Madani 2024.

Beliau berkata pembinaan PPKB Daerah Pitas itu, melibatkan kos RM6.9 juta dan mampu memuatkan minimum 500 mangsa bencana.

"Pembinaan PPKB ini bertujuan menyediakan prasarana penempatan bencana khusus bertaraf kekal untuk tempat perlindungan sementara mangsa, bakal mempunyai kemudahan yang lebih baik berbanding PPS.

"Pusat ini akan dilengkapi kemudahan yang bersesuaian seperti dewan penginapan, tandas, bilik mandi, ruang membasuh pakaian, dapur dan sudut makan ruang khas wanita, bilik pentadbiran dan petugas, stor makanan dan keperluan asas, bilik rawatan dan surau," katanya.

Armizan berkata selain inisiatif pembinaan PPKB, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, untuk pelaksanaan projek-projek pembaikan kecil dan naik taraf tandas, bilik mandi dan stor di PPS sedia ada secara berperingkat.

Kerajaan dalam Belanjawan Madani 2024 dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober meluluskan pembinaan sembilan PPKB di sembilan negeri yang sering dilanda banjir termasuk Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 3:52 PM