Foto hiasan
Foto hiasan
Nur Izzati Mohamad

Georgetown: Pulau Pinang membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di masjid dan surau ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim 12 daerah Barat Daya yang berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang semalam selepas mengambil kira semua pandangan sebelum mengeluarkan pekeliling untuk perhatian kariah yang terbabit.

Dalam pekeliling yang dikeluarkan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Mohd Zakuan Zakaria memaklumkan pelaksanaan solat Jumaat adalah dibenarkan mengikut keluasan ruang solat dan ruang yang bersesuaian di dalam kawasan masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Menurutnya, kariah dan jemaah juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang diperketatkan seperti pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman, mengambil suhu, daftrar rekod kehadiran dan membawa sejadah sendiri.

"Pelaksanaan solat fardu lima waktu juga adalah dibenarkan dengan mengikut SOP sama seperti solat Jumaat.

"Bagi pelaksanaan solat jenazah di masjid dan surau bagi jenazah bukan Covid-19 pula tertakluk kepada pekeliling yang dikeluarkan jabatan sebelum ini," katanya.

Menurutnya, aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti kuliah, ceramah, tazkirah dan seumpamanya di masjid dan surau dalam kawasan PKPB adalah tidak dibenarkan.

"Sebarang aktiviti ziarah tanah perkuburan Islam adalah ditangguhkan buat masa ini.

"Pematuhan pekeliling yang berkuat kuasa hari ini hingga 20 November meliputi kawasan Lapangan Terbang Bayan Lepas, pusat beli belah Queensbay, Jambatan Kedua Pulau Pinang, Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas dan perumahan di Batu Maung.

"Arahan pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau di negeri ini akan dikeluarkan dari semasa ke semasa secara berperingkat tertakluk kepada situasi semasa serta atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 12:52 PM