USTAZ Kazim Elias. FOTO Arkib NSTP
USTAZ Kazim Elias. FOTO Arkib NSTP
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengeluarkan surat pekeliling senarai nama 16 individu termasuk pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias yang didapati tidak memiliki tauliah mengajar daripada MAINPP.

Turut tersenarai adalah Datuk Ahmad Husam Baderudin, Ahmad Dusuki Abdul Rani, Yusni Mat Piah, Dr Abdullah Yassin, Prof Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle, Salman Ali, Maulana Fakhrurrazi, Mohd Rizal Azizan dan Halim Hassan.

Selain itu adalah Aiman Subri, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Shaharudin Ibrahim, Wan Hizam Abdullah Sabil, Shahrir Long dan Sobri Arshad.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata pihak penganjur dilarang menjemput individu berkenaan untuk menyampaikan ceramah, khutbah atau majlis ilmu atas sebab ketiadaan tauliah mengajar yang dikeluarkan MAINPP.

Menurutnya, pematuhan peraturan itu membabitkan jemputan seperti ceramah, seminar, syarahan, khutbah di masjid dan surau dan institusi di seluruh Pulau Pinang.

"Pihak pentadbiran menerima aduan daripada orang awam dan mendapati bahawa 16 penama itu tidak memiliki tauliah mengajar daripada MAINPP.

"Tujuan larangan ini dikuatkuasakan bertujuan memastikan kesemua penceramah menghormati dan mematuhi kehendak perundangan syariah berhubung pentauliahan.

"Ia bertujuan memastikan penceramah selayaknya menyampaikan ilmu menyatupadukan dan tidak menimbulkan kekeliruan dan perselisihan pandangan yang boleh menjejaskan keharmonian sesama masjid dan ahli kariah," katanya dalam surat pekeliling tersebut.

Keingkaran mematuhi perkara itu boleh mendatangkan implikasi kepada penceramah mengikut Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang (EKJSNPP) 1996 dan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala penganjur pula boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali kerana melanggar Seksyen 43 (Penyubahatan) yang dibaca bersama Seksyen 11 EKJSNPP 1996 iaitu bersubahat menganjurkan program membabitkan penceramah tanpa tauliah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 9:06 PM