GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memandang serius dan tidak membenarkan semua ahli politik menggunakan masjid dan surau di seluruh Terengganu untuk sebarang aktiviti dan program.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pihaknya membuat ketetapan tidak membenarkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam Terenggganu.

Beliua berkata, pihaknya juga tidak membenarkan mereka bertindak sebagai khatib dan iman solat Jumaat di Masjid.

"Masjid adalah sebuah institusi keagamaan yang sangat penting dan mulia bagi umat Islam, lambang kepada penyatuan dan perpaduan umat Islam yang perlu dimakmurkan dengan sebaik mungkin.

"Justeru, masjid dan surau tidak boleh sesekali disalahgunakan bagi tujuan yang boleh menimbulkan dan kegelisahan serta perselisihan di kalangan masyarakat termasuk menggunakan masjid dan surau bagi melaksanakan apa-apa aktiviti atau program yang pengisiannya bercampur aduk dengan unsur-unsur politik kepartian.

"Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa dukacita dengan pengbabitan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan iman solat Jumaat tanpa kebenaran MAIDAM," katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Shaikh Harun berkata, pihaknya juga membuat keputusan tidak membenarkan kepimpinan dan aktivis politik menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam Terengganu kecuali pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran MAIDAM.

Beliau berkata, semua Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa masjid dan surau hendaklah memastikan penceramah, pengkuliah dan tenaga pengajar serta khatib solat Jumaat yang dijemput mempunyai tauliah atau kelulusan daripada MAIDAM.

"Mana-mana program keagamaan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerajaan, Badan Berkanun Kerajaan, Anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang diadakan di bangunan agensi atau di tempat awam hendaklah memastikan penceramah, pengkuliah atau ahli panel dalam atau luar negeri yang dijemput mempunyai tauliah atau kelulusan MAIDAM.

"Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerusi Unit Penguatkuasa Syariah Pejabat Agama Dearah dikehendaki membuat pemantauan atas arahan yang dikeluarkan supaya ianya dapat dipatuhi.

"Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin) juga menyeru supaya semua pihak dapat menghormati dan mematuhi segala peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh MAIDAM dan JHEAT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 3:59 PM