Meor Riduwan Meor Ahmad


Ayer Keroh: Juruteknik dihukum penjara 64 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lapan tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar Tingkatan Satu, bulan lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Azali Abu, 40, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap masing-masing empat pertuduhan mengikut Seksyen 376(2) (b) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana amang seksual.

Bagi setiap empat pertuduhan merogol, tertuduh dihukum penjara 10 tahun dan satu sebatan, manakala penjara enam tahun dan satu sebatan bagi setiap empat tuduhan amang seksual.

Mohd Sabri mengarahkan hukuman bagi kesalahan merogol berjalan berasingan dan membenarkan hukuman bagi kesalahan amang seksual berlangsung serentak bagi setiap pertuduhan bermula tarikh ditangkap pada 25 Jun lalu.

Untuk rekod, Azali ketika ini sedang menjalani hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan atas kesalahan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa sama.

Azali dituduh merogol dan melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa berusia 13 tahun di bilik tidak bernombor di Pangsapuri Bachang Permai, Bachang, di sini pada 16 dan 17 Jun 2022, kira-kira 10 malam dan antara 3 pagi hingga 10 malam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman bersifat pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun Azali yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak merayu hukuman ringan dan berjalan serentak bagi semua pertuduhan, mengambil kira yang dia sudah insaf dan bertaubat kepada Allah SWT.

AZALI dijatuhi hukuman penjara 64 tahun dan lapan sebatan atas kesalahan rogol dan amang seksual terhadap pelajar tingkatan 1. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
AZALI dijatuhi hukuman penjara 64 tahun dan lapan sebatan atas kesalahan rogol dan amang seksual terhadap pelajar tingkatan 1. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa yang berusia 30 tahun membuat laporan polis pada 16 Jun lalu selepas dihubungi pemandu van sekolah pada 6.50 petang hari sama memaklumkan anaknya tiada di sekolah di Klang, Selangor.

Pengadu kemudian menghubungi rakan anaknya dan dimaklumkan mangsa hadir ke sekolah, namun mengikut seorang lelaki menaiki sebuah kereta berwarna putih selepas tamat sesi persekolahan.

Dua hari kemudian anak pengadu pulang ke rumah dan memberitahu dirogol empat kali oleh tertuduh di sebuah pangsapuri dan mendakwa turut menjadi mangsa amang seksual.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 5:24 PM