Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Pengasas sebuah pusat tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, hari ini, atas tiga lagi pertuduhan melakukan jenayah seksual termasuk merangsang seorang pelajarnya melakukan kelucahan melampau.

Tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, membuat pengakuan itu sebaik dibacakan dan diterangkan semua pertuduhan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun iaitu dengan mencium mulut mangsa pada pertengahan Mac lalu, kira-kira jam 3 petang di bilik rumah guru Pusat Tahfiz Islah, Tanjung Minyak, dekat sini.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK) iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap mangsa sama di tempat, masa dan tarikh sama yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan.

Seterusnya bagi pertuduhan ketiga Muhammad Firdaous dituduh merangsang mangsa sama melakukan kelucahan melampau di rumah guru Pusat Tahfiz At-Tayyibat, di sini, pada 28 April lalu, kira-kira jam 1.30 pagi.

Muhammad Firdaous mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan jenayah seksual terhadap pelajarnya. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Muhammad Firdaous mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan jenayah seksual terhadap pelajarnya. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377E KK yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 15 tahun serta sebat.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari manakala tertuduh diwakili peguam Faathir Imran Firdaus

Terdahulu, Anis Najwa membantah jaminan atas alasan tertuduh pernah dituduh atas jenayah sama pada 2019 yang mana kes dilepaskan tanpa dibebaskan berikutan mangsa (saksi) berada di Sabah serta dibimbangi mengulangi kesalahan sama jika dibenarkan ikat jamin.

Katanya, tertuduh juga didakwa atas pertuduhan sama dua hari lalu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pendakwaan tidak menawarkan jaminan.

Peguam memohon jaminan dibenarkan atas alasan mahkamah mempunyai budi bicara mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah untuk memberikan jaminan bagi kesalahan tidak boleh dijamin.

Katanya, anak guamnya turut diberi jaminan untuk satu kes di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selain isterinya sedang sarat mengandung.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Nariman membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin bercagar dan syarat tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi dalam apa juga cara.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Jun depan bagi serahan dokumen.

Rabu lalu tertuduh turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajarnya termasuk mangsa sama sejak tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 12:52 PM