DATUK Seri Johari Abdul Ghani.
DATUK Seri Johari Abdul Ghani.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini mencadangkan agar Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik menjadi Menteri Kewangan I.

Ia selepas Johari yang juga Naib Presiden Umno mencelah secara sinis dan menyatakan mahukan jawatan Menteri Kewangan I.

"Saya nak I, bukan II," celah Johari ketika perbahasan Hamzah berkait Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) sebelum itu mencadangkan supaya adanya seorang Menteri Kewangan yang dapat menumpukan sepenuh masanya kepada urusan pentadbiran kewangan.

Mengulas lanjut, Hamzah turut meminta pencelahan Johari itu dimasukkan dalam ucapan perbahasannya.

"Tuan Yang Dipertua, masukkan pencelahan Titiwangsa dalam ucapan saya bahawa Titiwangsa mahu menjadi Menteri Kewangan I," kata Ahli Parlimen Larut itu.

Beliau turut menarik balik cadangannya sebelum ini agar Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan diberikan jawatan Menteri Kewangan II.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 4:18 PM