TAN (kiri) dan Cheong membayar denda selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Muar, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
TAN (kiri) dan Cheong membayar denda selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Muar, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membelasah seorang remaja kerana enggan menyertai satu kumpulan kongsi gelap, Khamis lalu.

Tertuduh, Tan Siau Fu, 28, dan Cheong Jian Wei, 18, masing-masing dikenakan dua dan satu pertuduhan, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Norfarah Syahidah Mohd Noh.

Tan berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan terhadap Low Fu Yuan, 17, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi Seksyen 45 (1) Akta Pertubuhan 1946 pula, dia boleh dikenakan penjara sehingga empat tahun atau denda RM15,000 atau kedua-duanya manakala Cheong hanya didakwa mengikut Seksyen 323 kanun sama iaitu mendatangkan kecederaan terhadap mangsa sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa memaksa mangsa menyertai kumpulan kongsi gelap 'Ngok Sek Ki' dengan semua kejadian berlaku di sebuah rumah ibadah di Jalan Bakri di sini, jam 6.30 petang, 12 Oktober lalu.

Bagaimanapun, mangsa enggan menuruti arahan tertuduh sebelum dibelasah.

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera dan lebam d ibadan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata siasatan polis dijalankan sekali gus membolehkan kedua-dua tertuduh didakwa di mahkamah.

Selepas mengambil kira pengakuan kedua-dua tertuduh, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap Tan bagi kedua-dua pertuduhan sementara denda RM2,800 untuk Cheong.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohammad Zuwairi Md Noor manakala kedua-dua tertuduh diwakili Nor Hafizah Abdullah dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 8:17 PM