FAHMI. FOTO BERNAMA
FAHMI. FOTO BERNAMA
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyambut baik program berbentuk apresiasi filem di universiti bagi menyuntik semangat mahasiswa untuk menyokong filem tempatan.

Fahmi berkata, program seumpama itu perlu dipergiatkan khususnya penuntut jurusan seni perfileman kerana mereka adalah penyambung masa depan industri perfileman tanah air.

"Setiap hasil seni yang dilahirkan memberi sumbangan besar kepada industri kreatif tanah air dan ia adalah hasil seni yang perlu dihargai dan dihayati intipatinya.

"Perjalanan menghasilkan filem bukan mudah. Apatah lagi filem yang berasaskan sejarah atau peristiwa masa silam.

"Oleh itu, harapan saya program apresiasi filem ini akan dapat memberi sedikit ruang dan peluang untuk mahasiswa mendapat ilmu serta menambah pengetahuan dengan memahami sudut pandang artis serta idea dan pemikiran pembikin filem," katanya.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Pagari Bulan (Filem Kita, Wajah Kita: Garapan Sejarah Dari Lensa Kreatif) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bandar Baru Bangi.

Majlis anjuran Pelajar Seminar Komunikasi Antarabudaya, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM dengan kerjasama syarikat produksi Eleven Field Creative itu mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Menurutnya, program apresiasi filem dapat memberi peluang kepada mahasiswa memahami aspek pembikinan filem dengan lebih mendalam melalui perkongsian daripada artis, pembikin filem serta panel jemputan.

"Saya nampak usaha seperti ini agak baik dan kementerian melalui Finas akan terus bagi sokongan. Kalau boleh kita mahu adakan lebih banyak majlis apresiasi filem ini dengan menjelajah kampus-kampus universiti agar lebih ramai mahasiswa dapat menyertainya.

"Ada universiti mempunyai fakulti dalam bidang perfileman. Jadi, majlis apresiasi filem sebegini memang sesuai diadakan. Ia juga dapat memupuk hubungan pihak akademik dengan penggiat seni filem," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 2:49 PM