Mahaizura Abd Malik

Bangi: Kerajaan menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bersetuju mengurangkan kadar caruman dalam Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) daripada 15 peratus (caruman wajib) kepada 13 peratus mulai tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 sehingga 30 November 2025.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif itu bagi membantu koperasi bangkit semula dengan lebih progresif selepas menghadapi kesukaran dalam tempoh pasca Covid-19.

"Ini bermakna koperasi dapat meningkatkan potensi pendapatan boleh guna untuk aktiviti perniagaannya dengan lebihan kecairan tunai berjumlah hampir RM20 juta.

"Kadar ini akan kembali kepada kadar asal secara berperingkat mengikut ketetapan SKM kelak.

"Diharap pengurangan kadar KWRS ini dapat memberi kelegaan kepada koperasi untuk bangkit semula dan memulihkan perniagaannya serta mengalami pertumbuhan lebih baik," katanya pada Majlis Pelancaran Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) di sini, hari ini.

Menyedari pentingnya peranan koperasi dalam membantu kerajaan meningkatkan sosio ekonomi rakyat, beliau berkata, pihaknya komited meningkatkan kesedaran, kefahaman serta penghayatan berkoperasi dalam kalangan masyarakat menerusi Program Memasyarakatkan Koperasi di pelbagai lapangan.

"Terdapat beberapa akta perundangan yang dikawal selia kementerian dan agensi kerajaan yang tidak begitu mesra atau membataskan perniagaan koperasi.

"Sebagai contohnya, akta perundangan membabitkan pengendalian agensi pelancongan, perkhidmatan kesihatan dan jagaan swasta serta pengendalian institusi pendidikan tinggi swasta.

"Justeru, saya memohon bagi pihak gerakan koperasi supaya kementerian bertanggungjawab dalam kawal selia perundangan itu dapat membantu serta mengiktiraf gerakan koperasi sebagai entiti perniagaan yang dibolehkan beroperasi seperti entiti perniagaan lain," katanya.

Katanya, gerakan koperasi juga wajar dipertimbangkan untuk menikmati insentif cukai yang turut sama dinikmati syarikat termasuk insentif cukai bagi Taraf Perintis dan Relief Kumpulan.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 3:50 PM