Mahaizura Abd Malik


Bangi: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menggerakkan inisiatif Cooperative Strategic Linkages (CSL) bagi membangunkan rangkaian pusat pengedaran koperasi dalam usaha mengatasi masalah kenaikan harga barangan keperluan disebabkan orang tengah.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, inisiatif itu dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Federasi Koperasi serta gerakan koperasi dan subsidiari mereka.

"Dalam menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya koperasi boleh dilihat sebagai kedai atau pasar raya yang menjual barangan lebih murah daripada tempat lain, kita memulakan inisiatif ini bagi mengurangkan peranan orang tengah dan menjadikan perniagaan lebih tersusun.

"Rangkaian pusat pengedaran ini akan menjadi tempat pengumpulan semua barangan keperluan yang dibeli terus daripada petani atau penternak sebelum diedarkan kepada kedai koperasi seluruh Malaysia.

NOH (kiri) meninjau barangan yang dijual dalam MG Coopmart. FOTO Hazreen Mohamad
NOH (kiri) meninjau barangan yang dijual dalam MG Coopmart. FOTO Hazreen Mohamad

"Saya percaya kita dapat menawarkan harga lebih rendah tanpa membabitkan banyak lapisan orang tengah sekali gus membantu rakyat mendapatkan harga barangan keperluan pada harga berpatutan," katanya pada Majlis Pelancaran MG Coopmart dan Pusat Pengedaran Ko Makmur di sini, hari ini.

Beliau berkata, selaras dengan matlamat CSL, penjenamaan semula 2,581 premis kedai koperasi di bawah CoopMart sedang dilaksanakan berperingkat bagi menyeragamkan model perniagaan.

"Penjenamaan ini selaras dengan insiatif CSL khususnya membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan selain menjadi nilai tambah kepada koperasi meningkatkan pendapatan.

"Untuk itu, SKM akan memberikan peruntukan membuat papan tanda untuk kita selaraskan semua kedai koperasi supaya menggunakan satu logo CoopMart ini dan dilihat sebagai kedai yang mampu menyediakan barangan pada harga lebih murah di tempat lain," katanya.

Katanya, pihaknya turut menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu koperasi mengembangkan perniagaan dalam bidang pemborongan dan peruncitan.

"Kementerian melalui SKM menyediakan Tabung Modal Pusingan (TMP) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM30 juta dan Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) dengan geran bantuan sehingga RM300,000.

"Ia juga sebagai usaha memperkasakan pusat pengedaran koperasi bagi memastikan bekalan barangan keperluan pengguna dapat dibekalkan secara konsisten dengan harga berpatutan," katanya.

Sementara itu, Noh berkata, pihaknya turut menyasarkan penubuhan 400 koperasi baharu termasuk 200 koperasi masjid di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 3:29 PM