Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Co-opbank Pertama (CBP) menyasarkan sebanyak RM130 juta deposit menjelang akhir tahun ini menerusi Akaun Deposit Koperasi, Kumpulan Wang Rizab Statutori (ADK-KWRS).

Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, sehingga 31 Disember 2021, sebanyak 196 koperasi sudah mendepositkan ADK-KWRS di CBP dengan jumlah terkumpul sebanyak RM99.3 juta.

"Jumlah pendeposit ADK-KWRS ini meningkat kepada 196 koperasi daripada 128 koperasi sejak 2020.

"Ini menunjukkan sektor koperasi terus kekal utuh walaupun berdepan dengan wabak pandemik dan untuk makluman, sehingga Ogos 2022, jumlah deposit akaun ADK-KWRS sudah melebihi RM120 juta," katanya di majlis pengumuman Dividen ADK-KWRS dan penyampaian penghargaan kepada 20 koperasi penerima dividen tertinggi bagi 2021, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Zazali Haron.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Zazali Haron (tengah) menyempurnakan Majlis Pengumuman khas dividen tahunan bagi Akaun Deposit Koperasi – Kumpulan Wang Rizab Statutori (ADK-KWRS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur.
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Zazali Haron (tengah) menyempurnakan Majlis Pengumuman khas dividen tahunan bagi Akaun Deposit Koperasi – Kumpulan Wang Rizab Statutori (ADK-KWRS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur.

CBP mengumumkan dividen untuk ADK-KWRS kepada pendeposit (koperasi) sebanyak 2.0 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM1.58 juta.

Pemberian dividen ini adalah kali kedua bagi ADK-KWRS berbanding 2.5 peratus dividen yang diberikan pada tahun sebelumnya.

Baharom berkata, CBP optimis dapat mencapai sasaran sebanyak RM130 juta deposit menjelang akhir tahun ini, selari dengan sasaran SKM dan untuk itu beberapa program termasuk sesi jelajah akan diadakan dan dirancang di seluruh negara bagi mempromosikan ADK ini kepada setiap koperasi.

"Saya mengharapkan agar lebih banyak lagi koperasi dapat mendepositkan ke dalam ADK-KWRS demi kebaikan gerakan koperasi di negara ini kerana dana ini boleh diberi semula dalam bentuk pinjaman," katanya.

CBP dilantik sebagai Pengurus Dana ADK-KWRS sejak 12 September 2019 bagi tempoh lima tahun bermula dari 2019 hingga 2024 dan menjadi inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Sektor Perkhidmatan Koperasi oleh SKM bagi memperkasakan Gerakan Koperasi Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 10:04 PM