NOH menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi Di Malaysia di Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
NOH menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi Di Malaysia di Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) akan menyemak semula sistem perundangan dan struktur tadbir urus koperasi yang sedia ada supaya seiring dengan perkembangan dan keperluan semasa.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, ia bagi memastikan gerakan koperasi boleh berkembang serta terus berdaya maju ke arah mencapai objektif pembangunan sosioekonomi negara.

Kata Noh, langkah itu bakal meningkatkan lagi kecekapan 14,657 koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Dalam hal ini, keupayaan dan kapasiti agensi-agensi berkaitan koperasi, khususnya SKM dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), akan diperkasakan untuk menggalakkan pembangunan gerakan

koperasi dalam meningkatkan aktiviti keusahawanan.

"Persepakatan, penyelarasan fungsi dan peranan antara SKM, IKMa serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan dipertingkatkan.

"Ini bagi membangunkan gerakan koperasi yang lebih dinamik dan berdaya saing bagi mencapai matlamat sebagaimana sasaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKoM)," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Sambutan 100 Tahun Koperasi yang disempurnakannya di sini, hari ini.

Majlis bertemakan '100 Tahun Gerakan Koperasi, Membangun Keluarga Malaysia' itu turut dihadiri Timbalan Menteri Medac Datuk Muslimin Yahaya dan Presiden Angkasa Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Noh berkata, sehubungan itu, Aspirasi Koperasi Malaysia diwujudkan untuk menggariskan peranan dan tanggungjawab SKM, IKMa dan Angkasa dengan lebih jelas bagi mengelakkan pertindihan fungsi antara agensi.

"Ini seterusnya memastikan penggunaan sumber secara optimum supaya dapat memberi impak yang lebih signifikan kepada gerakan koperasi dan kumpulan sasar khususnya masyarakat.

"Dalam membantu kerajaan menangani kos sara hidup rakyat pula, Program Pembangunan Sektor Pemborongan dan Peruncitan Koperasi (COOP Strategic Linkages) akan dilaksanakan.

"Program ini dapat membantu mengurangkan harga barangan runcit serta jurang di antara pembekal, pengeluar dan

pengguna dengan mengurangkan penglibatan orang tengah," katanya.

Di bawah program itu juga, kata beliau, Medac akan menjenamakan semula kedai koperasi kepada 'Coopmart' supaya

lebih menarik.

Beliau berkata, kerajaan mensasarkan untuk menubuhkan lebih 500 Coopmart di seluruh negara yang akan diusahakan oleh pelbagai koperasi terutamanya di kawasan luar bandar dan kawasan yang majoritinya penduduk B40.

"Dalam membangunkan produk koperasi supaya lebih berdaya saing dan dapat menembusi pasaran antarabangsa pula, Medac akan membangunkan Program Pembangunan Produk Koperasi atau

ringkasnya D'PROKOP.

"Objektif D'PROKOP adalah untuk meningkatkan kualiti produk koperasi meliputi aspek kandungan dan pensijilan, meningkatkan promosi, pemasaran, penjualan produk koperasi serta mewujudkan repositori berpusat bagi produk koperasi sebagai rujukan utama.

"Jika kesemua 14,657 koperasi yang berdaftar dengan SKM bergerak secara proaktif dan bersepadu, tentu sekali setiap anggotanya akan menerima manfaat dengan peningkatan daripada segi taraf sosioekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 3:04 PM