GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Status pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas susulan pencemaran bau di empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor, semalam sudah mencapai tahap 99.1 peratus setakat 6 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan berkata, bekalan dijangka pulih sepenuhnya tengah malam ini.

"Kami ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

"Pengguna yang mendapat bekalan air diharap akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar," katanya, malam ini.

Semalam, media melaporkan empat LRA Sungai Selangor iaitu SSP1, SSP2, SSP3 dan LRA terpaksa dihenti tugas sementara selepas pihak berkuasa mengesan bau seakan diesel.

Dalam perkembangan berasingan, Air Selangor memaklumkan status pemulihan di kawasan terkesan susulan kerja penambahbaikan LRA Sungai Langat mencapai 6.8 peratus, setakat 6 petang tadi.

"Terdapat sedikit kesulitan teknikal di lapangan dan kami sedang berusaha menyelesaikannya.

"Namun begitu, bekalan air terawat sudah disalurkan melalui sumber alternatif secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 8:53 PM