Norzamira Che Noh


KESAN lapisan minyak berhampiran sebuah kilang di Bestari Jaya, Ijok menjadi punca henti tugas tiga Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor, pagi tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung LRA SSP1, SSP2, SSP3 terpaksa dihenti tugas 9.40 pagi susulan insiden pencemaran disyaki sisa diesel yang dikesan di Sungai Selangor.

“Siasatan di kawasan alur kolam KL-Larut menemukan kesan lapisan minyak berhampiran Kilang Johnsonsuise di Bestari Jaya.

“Justeru, LUAS mengaktifkan kod merah kecemasan pencemaran sungai Negeri Selangor.

“Selaras dengan itu, LUAS mengaktifkan pengepaman air kolam alternatif (OPAK) di Bestari Jaya sebanyak 853 juta liter sehari (JLH) untuk meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor,” katanya.

Pada masa sama, LUAS turut membuat pembukaan sementara pintu Baraj Bestari Jaya bagi tujuan mempercepatkan aliran ke hilir Sungai Selangor.

“LUAS juga sudah memasang ‘oil boom’ di kawasan alur berkaitan bagi mengawal baki aliran minyak daripada mengalir ke kawasan Sungai Selangor.

“Ketiga-tiga LRA utama itu beroperasi semula 11.40 hingga 11.55 pagi tadi,” katanya.

Menurut kenyataan, LUAS, Pengurusan Air Selangor serta pihak berkaitan sedang menjalankan siasatan menyeluruh di lokasi dan melaksanakan langkah kawalan serta mitigasi bagi mengelak punca pencemaran berulang.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi laman sosial Twitter mengucapkan penghargaan kepada petugas Air Selangor, LUAS, Majlis Daerah Kuala Selangor serta Jabatan Alam Sekitar kerana bertindak pantas.

Katanya, pihak yang bertanggungjawab sudah dikenal pasti, justeru siasatan dan pendakwaan perlu dikenakan terhadap pihak terbabit.

Berita berkaitan

Tiga LRA di Selangor henti tugas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 2:46 PM