ROHAYA menunjukkan gambar Nor Haslinda yang lemas bersama sepupunya. FOTO Syamsi Suhaimi
ROHAYA menunjukkan gambar Nor Haslinda yang lemas bersama sepupunya. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


SEORANG daripada mangsa lemas di kolam ikan terbiar di Kampung Mujur, Seneng, Jelawat dekat Bachok, semalam sempat meminta kakaknya menjaga ikan hiasan dipelihara.

Ibu mangsa Rohaya Safie, 41, berkata, anaknya, Nor Haslinda Mohamad Zawavi @ Zawawi, 12 meninggalkan pesanan itu kepada kakaknya, Suhaila, 16, sebelum kejadian.

Menurutnya, anaknya membela lebih 10 ikan Sepila yang diletakkan di tangga rumah.

“Arwah juga berubah perwatakan apabila suka bergurau dan kelihatan gembira dalam tempoh tiga hari sebelum dia meninggal dunia.

“Saya tidak menyangka hobi anak yang suka menangkap udang dan ikan di kolam terbiar itu berakhir tragedi apabila dia lemas di situ,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Nor Haslinda ditemukan lemas bersama sepupunya, Mohamad Aiman Farhan Zunaidi, 14, ketika mencari udang untuk dijadikan umpan memancing, 2.30 petang semalam.

Rohaya berkata, anaknya ke kerap ke kolam itu bersama adik, sepupu atau rakan-rakannya untuk mencari udang dan ikan hiasan kerana lokasinya hanya 50 meter dari rumah.

Menurutnya, anak kedua daripada tiga beradik itu sangat rapat dengan sepupunya yang dipanggil Aiman dan sering ke kolam ikan untuk menangkap udang serta ikan.

Katanya, dia sering melarang anaknya supaya tidak ke kolam itu, tetapi tidak diendahkan.

“Sebelum kejadian, mereka ke kolam itu untuk menangkap udang dan pulang 12 tengah hari, namun, mereka sekali lagi ke kolam itu sejam selepas itu kerana hasil pertama sedikit.

“Ketika itu, saya sedang memasak, manakala suami ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Suri rumah itu berkata, anak bongsunya, Nur Aisyah Sofia, 6, turut pergi ke kolam itu untuk melihat kakak dan sepupunya.

Menurutnya, ketika pulang pada kali pertama, anak bongsu memaklumkan kakak dan sepupunya sedang tangkap udang sebelum dia berlalu pergi.

“Namun, ketika pulang kali kedua 1.30 tengah hari anak dia memberitahu kakak dan sepupunya sudah berada di dalam air serta hanya tinggal selipar.

“Terkejut mendengarnya suami dan orang kampung ke kolam untuk mencari anak dan menemui mereka di dalam kolam,” katanya.

Rohaya berkata, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seneng 1 pagi, manakala Mohamad Aiman Farhan dikebumikan di Tanah Merah.

Berita berkaitan

'Tragedi cari udang'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 4:30 PM