TANGKAP layar video tular di media sosial
TANGKAP layar video tular di media sosial
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Cabut lari selepas melanggar motosikal berhenti di lampu isyarat punca pemandu kereta Nissan Almera dikejar sekumpulan penunggang motosikal di sepanjang Jalan Gombak dari arah Taman Sri Gombak menghala ke Sentul Point, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 2.05 petang.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sebuah motosikal yang berhenti di lampu isyarat tiba-tiba dilanggar oleh sebuah kereta Nissan Almera.

"Suspek melanggar bahagian sisi sebelah kiri motosikal Yamaha LC135 seterusnya melanggar bahagian kiri sebuah Proton Saga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kejadian itu tular selepas video berdurasi dua minit 19 saat dimuat naik di laman sosial X yang memaparkan pemandu terbabit memandu secara melulu sebelum berhenti di tengah-tengah jalan.

Menurut ciapan pemilik akaun, sebelum kejadian sekumpulan remaja bertindak melarikan diri menaiki kereta terbabit selepas dikatakan tidak membayar pesanan cendol.

Mengulas lanjut Sarifudin berkata, sehingga kini pemandu kereta terbabit masih belum tampil membuat laporan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 8:03 PM