SEBUAH kedai runcit di Pangsapuri Taman Suria Pendamar, Pelabuhan Klang menjual beras putih import di dalam guni berikutan kekurangan bekalan beras putih tempatan ketika ini. FOTO Faiz Anuar
SEBUAH kedai runcit di Pangsapuri Taman Suria Pendamar, Pelabuhan Klang menjual beras putih import di dalam guni berikutan kekurangan bekalan beras putih tempatan ketika ini. FOTO Faiz Anuar
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan membenarkan pengusaha membeli beras putih import pada harga borong akan mengurangkan kos perbelanjaan pengguna yang makan di luar.

Namun Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abd Latiff berpandangan, langkah itu hanya penyelesaian bersifat sementara.

"Saya bersetuju keputusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ini sebagai salah satu penyelesaian jangka pendek dan dapat meringankan beban pelanggan yang makan di restoran.

"Cuma kita khuatiri jika penguatkuasaan kurang, ada pengusaha jual makanan mahal padahal dia beli beras dengan harga borong sebab pelanggan pun tak tahu pengusaha itu beli pada harga tinggi atau borong.

"Untuk itu, kerajaan perlu pastikan pengusaha restoran tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan harga makanan lebih tinggi kerana mereka sudah membeli beras import dengan harga borong," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas pengumuman KPKM memberikan lesen borong kepada pengusaha restoran supaya mereka boleh membeli beras putih import pada harga borong RM3.20 sekilo daripada Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

Dari aspek lain katanya, kaedah itu tidak boleh dilakukan dalam jangka masa panjang berikutan ia akan membebankan perbelanjaan negara.

"Dengan melaksanakan cara ini Bernas akan perolehi keuntungan sangat minimum.

"Justeru, unttuk jangka panjang memang tidak sesuai kerana akan meningkatkan perbelajaan kerajaan.

"Bagi saya apapun sepatutnya memang perlu ada penyelesaian lain terutama dalam memastikan pengeluaran beras tempatan dapat dipertingkatkan," katanya.

Semalam, Setiausaha Akhbar kepada Menteri KPKM, Adeysham Nor dilaporkan berkata, langkah itu diputuskan Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai usaha jangka pendek kerajaan untuk mengatasi masalah kekurangan beras putih tempatan selepas pengguna kurang membeli beras putih import kerana harganya meningkat.

Katanya, persatuan pengusaha restoran perlu mengemukakan permohonan kepada KPKM untuk mendapatkan lesen borong terbabit.

Sebelum ini, harga beras putih import jenis standard kira-kira RM2.80 hingga RM3.20 satu kg.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 7:50 PM