Datuk Seri Mohamad Sabu. FOTO DANIAL SAAD
Datuk Seri Mohamad Sabu. FOTO DANIAL SAAD
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan semua pihak supaya tidak gopoh mengeluarkan kenyataan dan cadangan supaya melarang penjualan beras putih tempatan (BPT) kepada warga asing.

Beliau berkata, isu terbabit tidak seharusnya dibangkitkan kerana ia membabitkan hak kemanusiaan.

"Bagi saya, ini soal kemanusiaan, mereka juga perlu makan dan dalam suasana begini, jangan kita gopoh (keluar cadangan) sebab kalau pekerja kita berada di luar negara dan mereka tidak dibenarkan membeli beras yang murah, kita juga akan terasa.

"Ini soal hak asasi manusia dan saya rasa, mereka perlu terus diberi izin untuk membeli beras di Malaysia, termasuk beras tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran Malaysia Ke-25 di sini, hari ini.

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Salleh sebelum ini dilapor mempertahankan cadangannya supaya melarang penjualan BPT kepada warga asing.

Jelas Dr Muhamad Akmal, cadangan itu bukan bersifat diskriminasi, sebaliknya untuk memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bagi mendapatkan bekalan makanan berkenaan.

Sementara itu, ditanya berkaitan gesaan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan, supaya segera memperincikan prosedur operasi standard (SOP) lesen borong beras putih import (BPI) kepada pengusaha restoran, Mohamad berkata, pihaknya akan mengadakan libat urus dengan pemegang taruh berkaitan.

"Kementerian akan berjumpa dan berdialog dengan mereka supaya dapat memahami (lebih lanjut) iaitu untuk pengurusan restoran dan sebagainya, mereka diberi harga borong untuk mereka mendapatkan barang import (BPI) itu dan tidak hanya tertumpu kepada beras tempatan," katanya.

KPKM sebelum ini memutuskan akan memberi lesen borong kepada pengusaha restoran bagi membolehkan mereka membeli BPI pada harga borong RM3.20 sekilogram daripada Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

Ia sebagai usaha jangka pendek kerajaan mengatasi masalah kekurangan BPT susulan pengguna kurang membeli BPI yang harganya kini semakin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 1:44 PM