GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Melaka: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengadakan pertemuan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan pesawah, Khamis ini bagi membincangkan berkaitan bekalan beras tempatan negara.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia berikutan tindakan penyelarasan harga beras putih import oleh Bernas sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.

"Hari Khamis ini (KPKM adakan pertemuan) bersama Bernas, pegawai-pegawai tinggi daripada Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN), kemudian bersama pengusaha-pengusaha sawah untuk kita berbincang (langkah) seterusnya (untuk memastikan beras tempatan mencukupi dalam pasaran negara).

"Macam dulu bila kita hadapi masalah telur dan ayamlah... bila semua bekerjasama, Alhamdulillah kita dapat atasi. Kita harap hal beras pun sebegitu juga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan Mega Agro Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kementeriannya juga mengadakan sesi dialog dengan pengilang beras di Kedah sebelum ini bagi memaklumkan mengenai dasar semasa negara berkaitan bekalan itu.

"Mereka akan patuh dengan dasar-dasar kerajaan dan tindakan keras akan diambil kalau mereka cuba menyorok atau tukar label (beras tempatan kepada beras import). Ini yang kita sedang jalankan," katanya.

Beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan bekerjasama dengan pemain industri bagi memastikan beras dihantar ke kawasan yang mengalami kekurangan bekalan.

Bernas sebelum ini dilapor akan menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan berkuat kuasa Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 1:45 PM