MOHAMAD Fazli (kiri) ketika meninjau kerja baik pulih di Lebuhraya Pasir Gudang.  FOTO Ihsan Mohamad Fadli
MOHAMAD Fazli (kiri) ketika meninjau kerja baik pulih di Lebuhraya Pasir Gudang. FOTO Ihsan Mohamad Fadli
Omar Ahmad


Johor Bahru : Kerja baik pulih Lebuhraya Pasir Gudang dijangka siap sepenuhnya pertengahan Oktober ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Menurutnya, sebanyak 23 kerja baik pulih dijalankan di sepanjang lebuh raya itu sejak Ogos lalu yang menyebabkan kesesakan melampau.

Katanya, sebanyak 12 kerja baik pulih sudah siap, manakala baki 11 lagi dijangka siap sepenuhnya pertengahan Oktober ini.

"Kerja baik pulih lebuh raya itu tidak terlewat, sebaliknya dilaksana secara berperingkat.

"Kerja baik pulih ini tidak dilakukan serentak bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk.

"Kerja membaikpulih pelbagai, ada yang membabitkan tiga lorong dan dua lorong. Sekiranya lorong yang dibaik pulih adalah lorong tengah, penutupan membabitkan dua lorong.

"Tetapi jika kerja baik pulih membabitkan lorong tepi, hanya satu lorong ditutup, manakala dua lorong lain akan dibuka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Fazli berkata, susulan aduan kesesakan berkenaan, Jabatan Kerja Raya (JKR) meminta bantuan polis bagi membantu menghalakan trafik ke laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan.

"Ramai yang mengadu kesesakan berlaku akibat kerja-kerja ini. Maaf atas kesulitan yang berlaku.

"Semoga dipermudahkan urusan kita semua dan diharapkan dengan siapnya kerja-kerja ini, semua permukaan jalan di Lebuhraya Pasir Gudang akan lebih cantik dan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 8:38 PM