CIQ BSI, Johor. FOTO Arkib NSTP
CIQ BSI, Johor. FOTO Arkib NSTP
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Semua kaunter di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) akan dibuka sepenuhnya menjelang Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pembukaan kedua-dua pintu antarabangsa di negeri ini itu akan memudahkan pergerakan pengembara sempena musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Jaminan itu diberi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Polis akan turut melancarkan Ops Lancar bagi kelancaran aliran trafik di kawasan bandar raya dan di sempadan negara, manakala Ops Selamat dilancarkan bagi menjamin keselamatan rakyat termasuk harta benda mereka.

"PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan memperkenalkan smart lane dengan membenarkan lorong kecemasan dari Senai ke Kulai untuk penggunaan orang ramai bagi menangani kesesakan di kawasan itu.

"Lebuhraya Senai Desaru (SDE) juga sedang memperhalusi cadangan menggunakan lorong kecemasan sebagai laluan alternatif ketika kesesakan tetapi mestilah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Aliran Trafik Negeri Johor Sempena Perayaan Aidilfitri 2023 di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sudah mengeluarkan arahan supaya kenderaan yang membawa muatan berat seperti bahan binaan tidak dibenarkan menggunakan jalan raya dalam tempoh perayaan.

Katanya, JPJ juga memaklumkan bahawa kenderaan berat lain hanya dibenarkan dalam tempoh waktu ditetapkan.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) pula mengeluarkan arahan supaya semua kerja pembaikan jalan ditangguh dan tidak dibenarkan sepanjang tempoh perayaan kecuali kerja-kerja kecemasan yang membabitkan keselamatan.

"Selain itu, kami juga menyeru kepada semua pihak yang akan pulang ke kampung untuk merancang perjalanan mengikut jadual dicadangkan demi kelancaran trafik di lebuh raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 10:44 PM