NOROLAZALI (tiga, kiri) melawat lokasi runtuhan cerun di Jalan Persekutuan 8 (FT08) Bentong-Raub selepas sesi taklimat daripada wakil-wakil jabatan mengenai pasca banjir infrastuktur (lebuhraya, jalan raya & rumah) yang mengalami kerosakan akibat bencana banjir monsun timur laut pada Disember dan Januari lalu. FOTO BERNAMA

BERNAMA

Bentong: Sebanyak 48 jalan persekutuan dikenal pasti mengalami kerosakan akibat banjir melanda Pahang pada Disember 2021 dan awal tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM27 juta untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan itu yang dimulakan secara berfasa.

Antara lokasi itu ialah Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (FT002), Jalan Karak-Manchis (FT009), Jalan Utama Bera (FT1510) dan Jalan Benta-Jerantut-Maran (FT064).

"Kerja pembaikan telah bermula dan berjalan dengan baik setakat ini, yang mana sehingga kini sebanyak 17 peratus daripada 48 lokasi tersebut, sedang dalam proses pelaksanaan pembaikan," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan beberapa lokasi utama di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dikenal pasti untuk dilakukan pembaikan, membabitkan sistem aliran antaranya di KM 66-67, KM67-68, KM77.1 dan KM78-78.2, menghala Kuala Lumpur.

Katanya, kerja-kerja pembaikan tebing sungai di KM74.4-75.1 dan KM78-78.2 siap sepenuhnya, manakala baik pulih cerun serta perparitan di KM66-66.7 dijangka siap pada April depan.

Terdahulu, Norolazali mendengar taklimat perkembangan pasca banjir infrastruktur daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, sebelum meninjau lokasi runtuhan cerun di Jalan Persekutuan FT08 Bentong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 6:07 PM