Zuliaty Zulkiffli

Baling: Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan 102 mangsa daripada 33 keluarga yang terjejas akibat banjir kilat sejak malam tadi masih beroperasi setakat jam 2 petang ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, dua PPS iaitu di Masjid Islahiyah dan Masjid Binjul Luar di Tawar itu tidak ditutup berikutan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan dijangka turun pada petang ini sehingga malam.

Beliau berkata, 30 keluarga sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan air surut sepenuhnya hari ini.

"Setakat ini hanya tiga keluarga masih berada di PPS disebabkan rumah mereka masih ditenggelami air.

"Bagaimanapun semua mangsa yang pulang ke rumah untuk cuci rumah tidak lapor untuk keluar dari PPS ini lagi dan masih berada di sini sehingga keadaan cuaca baik.

"Dua PPS itu dibuka jam 10 malam tadi selepas didapati dua keluarga seramai 11 mangsa di PPS Masjid Binjul Luar berikutan rumah mereka di tepi sungai dipenuhi air.

"Dan pada jam 11 malam, PPS di Masjid Islahiyah Tawar ini dibuka berikutan banyak rumah yang dinaiki air sehingga paras pinggang dan seramai 33 keluarga dari 91 mangsa dipindahkan ke situ," katanya pada sidang media di PPS Masjid Islahiyah Tawar, di sini hari ini.

SHAMSUDIN (kanan) meninjau mangsa banjir kilat di PPS Masjid Islahiyah Tawar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SHAMSUDIN (kanan) meninjau mangsa banjir kilat di PPS Masjid Islahiyah Tawar. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Shamsudin berkata, beliau menasihatkan penduduk setempat khususnya di daerah ini sekiranya kediaman mereka dinaiki air, segera berpindah ke tempat lebih selamat dan tidak menunggu air naik pada waktu malam.

Beliau berkata, ini kerana arus kuat akibat banjir kilat malam tadi menyukarkan anggota untuk melakukan pemindahan penduduk.

"Walau bagaimanapun dengan bantuan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat yang lebih mengetahui tempat geografi tempat mereka berada ni, kesemua mangsa berjaya dipindahkan ke PPS ini.

"Namun setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang cedera dilaporkan dalam kejadian itu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang di Baling dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang berterusan sejak jam 6 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 3:25 PM