PENDUDUK menaiki bot APM untuk dipindahkan ke dua PPS yang dibuka malam tadi berikutan banjir kilat di dua kampung di Baling. FOTO Ihsan APM
PENDUDUK menaiki bot APM untuk dipindahkan ke dua PPS yang dibuka malam tadi berikutan banjir kilat di dua kampung di Baling. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang di Baling dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan sejak jam 6 petang semalam.

Berikutan itu, seramai 102 mangsa daripada 33 keluarga di dua kampung terbabit dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, PPS Masjid Islahiyah Tawar dibuka jam 11 malam yang menempatkan 91 mangsa daripada 31 keluarga.

Beliau berkata, PPS di Masjid Binjul Luar, Tawar pula dibuka jam 12 tengah malam membabitkan seramai 11 mangsa dari dua keluarga.

Katanya, pemindahan itu membabitkan seramai 23 lelaki dewasa, wanita dewasa (34), kanak-kanak lelaki (15), kanak-kanak perempuan (14), warga emas (4) dan bayi lelaki (1).

"Hujan lebat yang melanda petang semalam menyebabkan air sungai melimpah ke tebing di Kampung Padang Empang dan Kampung Iboi.

"Hasil pemantauan APM di lapangan mendapati berlakunya banjir kilat di beberapa kampung dan air sungai naik terlalu cepat dan mengakibatkan beberapa rumah sudah dimasuki air.

"Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Suhaimi berkata, keadaan cuaca ketika ini mendung di daerah Baling.

Beliau berkata, berdasarkan ramalan paras air sungai yang dikeluarkan oleh Jabatan Perairan dan Saliran (JPS), stesen Sungai Ketil di Kampung Kuala Pegang, Pulai menunjukkan melebihi paras bahaya sebanyak 36.19 meter setakat jam 8 malam.

"Semua mangsa Banjir yang berada di PPS berada dalam keadaan selamat serta dipantau oleh agensi yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 8:24 AM