LIMA kampung dilanda banjir akibat hujan lebat tanpa henti.
LIMA kampung dilanda banjir akibat hujan lebat tanpa henti.
Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Lebih 300 penduduk membabitkan 78 keluarga dari lima kampung di Baling terpaksa dipindahkan ke lima pusat pemindahan berikutan banjir akibat hujan lebat tanpa henti selama tiga jam, kira-kira jam 10 malam tadi.

Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Kuala Bakong, Kampung Binjul Luar, Kampung Batu Tujuh, Kampung Masjid Tawar dan Taman Sheikh Fadzir.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Baling (JKM) Nzatul Iffah Abdullah berkata, kesemua mangsa ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara iaitu di Surau Kampung Kuala Bakong, Dewan Orang Ramai Binjul Luar, Surau Kampung Batu Tujuh, Surau Taman Sheikh Fadzir dan Masjid Tawar.

Beliau berkata, semua bantuan makanan disalurkan dengan segera sejak awal pagi tadi bagi memastikan semua mangsa mendapat perlindungan dengan selamat.

"Kita menyegerakan bantuan kepada mangsa supaya mereka tidak tercicir menerima makanan dan selamat di pusat pemindahan.

"Hujan lebat tanpa henti sejak semalam menyebabkan banyak kawasan rendah dan sering terdedah dengan banjir menerima bencana itu. Bagaimanapun JKM bersiap sedia menyediakan stok makanan yang cukup untuk semua mangsa banjir," katanya ketika ditemui membuat lawatan ke rumah mangsa banjir di Kampung Binjul Luar, Kuala Ketil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:48 PM