Penduduk Kampung Tawar membersihkan barangan mereka yang ditenggelami air akibat banjir kilat. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Penduduk Kampung Tawar membersihkan barangan mereka yang ditenggelami air akibat banjir kilat. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan 102 mangsa banjir daripada 33 keluarga di daerah ini ditutup sepenuhnya jam 7 petang ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua mangsa banjir kilat iaitu 91 mangsa daripada 33 keluarga di PPS Masjid Islahiyah dan 11 mangsa daripada dua keluarga di PPS Masjid Binjul Luar di Tawar dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Media sebelum ini melaporkan Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang di Baling dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang berterusan sejak jam 6 petang semalam.

Selain itu, Kampung Tawar dan Kampung Binjul Luar turut terjejas dinaiki air sehingga menenggelamkan rumah penduduk.

Berikutan itu, 102 mangsa daripada 33 keluarga dipindahkan ke dua PPS yang dibuka di Tawar sejak jam 10 malam dan 12 tengah malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 7:30 PM