PEGUAM Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
PEGUAM Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara tidak boleh secara semberono menolak representasi yang dikemukakan oleh mana-mana tertuduh, termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebaliknya perlu meneliti setiap butiran yang diberikan demi menegakkan proses undang-undang.

Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, berkata berdasarkan kepada representasi yang dikemukakan, ia menjadi tugas seorang Peguam Negara untuk mempertimbangkan setiap alasan dan perincian diberikan tertuduh.

Malah katanya, Jabatan Peguam Negara atas prinsip keadilan undang-undang juga dikehendaki, untuk turut bekerjasama dengan pihak penyiasatan berkenaan dengan setiap butiran yang dikemukakan tertuduh melalui representasi yang diberikan.

"Perlu diingatkan juga tugasan jabatan ini bukanlah untuk memastikan mana-mana tertuduh disabitkan melalui apa cara sekalipun.

"Sebaliknya, tugas hakiki jabatan ini adalah untuk memastikan proses undang-undang ditegaskan sepenuhnya berlandaskan kata-kata yang dikenali sebagai 'Blackstone Ratio' iaitu 'It is better than ten guilty persons escape than that one innocent suffer'.

"Seterusnya dimaklumkan bahawa respresentasi yang dikemukakan mempunyai terlalu banyak butiran dan setiap representasi mempunyai lebih daripada 200 muka surat, tidak termasuk dokumen sokongan yang dilampirkan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Terrirudin berkata, sudah tentu Peguam Negara dan jabatan ini perlu mengambil masa untuk meneliti setiap butiran dan dokumen yang disertakan dengan penuh hemah sebelum apa-apa keputusan boleh dibuat.

Beliau berkata, pihaknya hanya melaksanakan tugas dan kewajipan sebagaimana diperuntukkan mengikut undang-undang sedia ada.

"Oleh itu, jabatan ini berharap semua pihak dapat menghentikan sebarang spekulasi apatah lagi menyebarkannya.

"Ini kerana jabatan ini dengan bantuan pelbagai pihak terutamanya pihak penyiasatan masih sedang menyiasat semua bukti baharu yang timbul berkaitan kes ini.

"Sebarang keputusan sama ada untuk mendakwa semula tertuduh, mendakwa pihak lain yang berkaitan atau sebaliknya akan dibuat oleh jabatan ini setelah siasatan yang lebih terperinci dan komprehensif selesai," katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70 Timbalan Perdana Menteri selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin menghentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Susulan itu, Majlis Peguam menyifatkan kenyataan Jabatan Peguam Negara mengenai keputusan bebas tanpa dilepaskan Ahmad Zahid sebagai tidak mempunyai justifikasi sewajarnya.

Presidennya, Karen Cheah, dilaporkan berkata adalah tidak wajar bagi AGC untuk mengaitkan penarikan balik sepenuhnya kes Ahmad Zahid itu kepada Mahkamah Tinggi dan menggunakannya sebagai alasan dalam kenyataan media daripada memberikan penjelasan terperinci.

Mengulas mengenai perkara itu, Ahmad Terrirudin berkata, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Jabatan Peguam Negara kononnya dengan sendirinya mencemarkan reputasi dan kredibilitinya.

Beliau berkata, malah Jabatan Peguam Negara tidak pernah menggunakan perkataan menarik balik dalam kes membabitkan Ahmad Zahid.

"Kenyataan itu sendiri merujuk kepada Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang jelas memperuntukkan budi bicara penuh kepada Peguam Negara untuk antara lainnya menghentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

"Peguam Negara boleh menghentikan pertuduhan di mana-mana peringkat selagi penghakiman belum diberikan oleh mahkamah dan ini termasuk di peringkat selepas prima facie sudah dibuktikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 8:08 PM