Caprice (kiri). Mondy (kanan).
Caprice (kiri). Mondy (kanan).
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis akan memanggil penyanyi rap Caprice dan wanita Indonesia yang dikenali Mondy Tattoo bagi membantu siasatan laporan dibuat pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata, pihaknya sudah menerima arahan lanjut bagi menyiasat kes itu, hari ini.

Katanya, polis setakat ini hanya menerima satu laporan dibuat Ebit Lew di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, semalam.

"Kita sudah merakam keterangan Ebit Lew dan turut akan merekodkan keterangan daripada Caprice dan wanita Indonesia itu dalam tempoh terdekat.

"Proses itu adalah prosedur bagi melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Semalam, Ebit Lew tampil membuat laporan polis dengan mendakwa berlaku fitnah melampau terhadapnya.

Ebit Lew menerusi hantaran di Instagramnya memaklumkan laporan polis itu dibuat sebaik beliau tiba dari Jeddah, Arab Saudi kira-kira jam 12 tengah malam.

Laporan polis itu dipercayai dilakukan selepas tular di media sosial satu rakaman wawancara bersama seorang wanita dari negara jiran yang pernah mendapat pertolongannya.

Wanita itu mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pendakwah ketika kali pertama tiba di Malaysia, tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 5:25 PM