CAPRICE (kanan)  dan Mondy. FOTO NSTP dan media sosial
CAPRICE (kanan) dan Mondy. FOTO NSTP dan media sosial
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Polis sudah merakam percakapan penyanyi rap, Caprice dan wanita Indonesia dikenali Mondy Tattoo bagi membantu siasatan laporan dibuat pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, rakaman percakapan Ariz Ramli atau Caprice dan Dita Restu Amanda atau Mondy itu diambil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

"Bagi melengkapkan siasatan kes ini, beberapa saksi lain lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

"Siasatan lanjut berhubung kes ini masih diteruskan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi memaklumkan pihaknya sudah menerima arahan lanjut bagi menyiasat kes itu, semalam.

Polis hanya menerima satu laporan dibuat Ebit Lew di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, kelmarin dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Kelmarin, Ebit Lew tampil membuat laporan polis dengan mendakwa berlaku fitnah melampau terhadapnya.

Ebit Lew menerusi hantaran di Instagramnya memaklumkan laporan polis itu dibuat sebaik beliau tiba dari Jeddah, Arab Saudi kira-kira 12 tengah malam.

Laporan polis itu dipercayai dilakukan selepas tular di media sosial satu rakaman wawancara bersama seorang wanita dari negara jiran yang pernah mendapat pertolongannya.

Wanita itu mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pendakwah ketika kali pertama tiba di Malaysia, tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 12:44 PM