DATUK Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A Samad. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A Samad. FOTO arkib NSTP
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Perbicaraan kes rasuah RM2.8 juta membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad ditangguhkan kerana saksi ke-11 pendakwaan tidak sihat.

Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Zizie Izette ketika ditemui media, memberitahu perbicaraan hari ini seharusnya disambung dengan mendengar keterangan Pengurus Kanan Pentadbiran dan Kewangan di Yayasan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Azriman Ridouan, 44.

"Bagaimanapun, kami dimaklumkan bahawa saksi hari ini tidak sihat. Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan perbicaraan akan bersambung lagi esok hingga Jumaat ini," katanya.

Bung Moktar, 61, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara yang sama di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Mengikut pertuduhan, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai RM2.2 juta, daripada Madhi melalui Zizie Izette sebagai upah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM262,500, daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM337,500, daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 2:22 PM