Hasbi Sidek


SERAMAI 23 anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang ditahan kerana disyaki menerima bayaran sehingga RM30,000 sebulan bagi melindungi kegiatan lori membawa muatan melebihi had.

Mereka antara 31 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pulau Pinang, dalam operasi khas bermula 10 pagi, hari ini.

Selain kakitangan JPJ, baki yang ditahan adalah orang awam, tonto dan pemilik syarikat disyaki terbabit aktiviti melindungi pemandu lori lebih muatan.

Penguat kuasa yang bertugas di negeri itu menerima bayaran dari RM10,000 hingga RM32,000 sebulan sebagai sogokan supaya tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan berkenaan.

Difahamkan, anggota berkenaan turut dipercayai terbabit menyalurkan maklumat kepada tonto dan pemandu lori mengenai operasi dijalankan JPJ.

Semua yang ditahan berusia antara 31 hingga 54 tahun dengan tiga daripada mereka adalah wanita.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenana namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 8:25 PM