FAHMI selepas menyerahkan Bantuan Kasih @ HAWANA kepada kakitangan RTM Sarawak yang terlantar sakit. FOTO Nadim Bokhari
FAHMI selepas menyerahkan Bantuan Kasih @ HAWANA kepada kakitangan RTM Sarawak yang terlantar sakit. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Platform media sosial utama, Google, META dan TikTok akan didaftar dan dilesenkan bagi memastikan mereka turut memberi pulangan semula kepada industri media negara ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sudah membincangkan perkara itu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Menurutnya, isu itu perlu diteliti dengan serius berikutan penguasaan platform media sosial itu memberi impak terhadap industri media tempatan.

"Selepas pertemuan MCMC dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan beberapa platform media sosial yang besar seperti TikTok, Google dan META, saya sudah membincangkan beberapa perkara dengan MCMC untuk meneliti keperluan bagi mendaftar dan melesenkan beberapa platform terbabit.

"Antara lain, kita melihat ada keperluan untuk mempertimbangkan satu mekanisme untuk ketiga-tiga platform itu sumbang balik kepada industri media di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Bantuan Kasih @ Hawana kepada kakitangan RTM, Irwan Budi yang menghidap penyakit kronik di kediamannya di Taman Sourabaya Indah, Petra Jaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, keperluan untuk melesenkan tiga platform media sosial itu perlu kerana banyak konten yang dihasilkan oleh organisasi media di Malaysia mereka manfaatkan.

"Namun, pulangan kepada organisasi media tempatan amat kurang, jadi kita akan terus meneliti isu itu untuk memastikan ekosistem media Malaysia mampan dan sihat," katanya.

Selain itu, Fahmi berkata, KKD akan berbincang dengan Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) berkaitan keperluan untuk memperluaskan jaringan perlindungan keselamatan sosial kepada wartawan sambilan.

"Kini semakin banyak organisasi media menggunakan wartawan sambilan dan kita mahu jika sesuatu berlaku ketika menjalankan tugas, mereka juga akan mendapat perlindungan keselamatan seperti wartawan sepenuh masa.

"Kita akan berjumpa Perkeso dalam tempoh seminggu dua ini untuk membincangkan usaha mengembangkan skim keselamatan itu kepada wartawan sambilan," katanya.

Sementara itu, Irwan berkata, dia yang bertugas di RTM sejak hampir 20 tahun lalu disahkan mengidap penyakit buah pinggang, barah paru-paru dan paru-paru berair sejak awal tahun lalu.

"Saya kini menjalani rawatan haemodialisis tiga kali seminggu dan masih meneruskan tugas seperti biasa.

"Saya bersyukur menerima kunjungan menteri serta sumbangan Hawana ini meringankan beban saya untuk mendapatkan susu khas. Saya perlu mengeluarkan belanja RM1,600 setiap bulan untuk rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 3:33 PM