FAHMI Fadzil. FOTO Arkib BERNAMA
FAHMI Fadzil. FOTO Arkib BERNAMA
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melancarkan Tabung Kasih@HAWANA dalam usaha membantu wartawan veteran dan bekas pengamal media yang berdepan keuzuran dan kesukaran dalam hidup.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata, menerusi inisiatif bersama Bernama, program itu bakal menjejaki wartawan yang memerlukan bantuan dan memberikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan sewajarnya.

"Alhamdulillah, kita sudah menyantuni dua rakan kita iaitu bekas wartawan Utusan Melayu, Muhammad Basir Abu Bakar yang menghidap penyakit jantung dan wartawan veteran, Mohd Sidek Salleh yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur selepas menjalani pembedahan akibat kanser usus.

"Sehubungan itu, saya amat mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk Tabung Kasih@HAWANA demi menjayakan hasrat murni membantu rakan-rakan media kita," katanya pada Prapelancaran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Wisma Bernama, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) KKD Mastura Ahmad Mustafa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin dan tokoh wartawan Tan Sri Johan Jaaffar.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, suasana media hari ini begitu berbeza berbanding dahulu kerana terdapat cabaran yang perlu dilalui industri kewartawanan.

"Hari ini kita ada orang awam yang merasakan dia sebahagian daripada rakan media kerana mempunyai telefon malah organisasi media juga berdepan tekanan untuk menyediakan isu kandungan pemberitaan.

"Tidak semua 'content' itu boleh dijadikan berita dan disebabkan itulah kita harus mencari titik temu untuk menang-menang di antara semua pihak," katanya.

Fahmi berkata, HAWANA 2023 yang bertemakan 'Media Bebas, Tunjang Demokrasi' pada 27 hingga 29 Mei ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ipoh, Perak.

"Saya dimaklumkan HAWANA 2023 menerima sambutan amat menggalakkan dengan ramai pengamal media menerusi organisasi dan persatuan media tempatan dan antarabangsa menyuarakan hasrat untuk turut sama memeriahkan majlis ini dan difahamkan kira-kira 1,000 orang daripada kalangan wartawan, jurufoto, jurugambar dan penyiar akan berhimpun di Hotel Casuarina Meru di Ipoh pada majlis kemuncak sambutan ini.

"Tidak ketinggalan juga, sejumlah besar wartawan dari negara Asean yang akan menyertai Forum Media yang diadakan untuk membincangkan mengenai 'survival' industri media khususnya di rantau ini," katanya.

Sementara itu, Roslan berkata, penganjuran HAWANA bukan sahaja untuk memperingati peranan wartawan malah mengenang jerit perih petugas media yang sentiasa di barisan pertama untuk menyempurnakan tugas dan liputan.

"Seperti kita tahu, antara tragedi membabitkan wartawan adalah kes Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera Bernama TV yang ditembak oleh peluru sesat di Mogadishu, Somalia," katanya.

HAWANA 2023 menerima 19 penajaan antaranya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Majlis Rekabentuk Malaysia, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Public Bank, Malaysia Palm Oil Green Conservation Foundation, Bank Islam Malaysia Bhd dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 4:37 PM