FAHMI, gambar fail. FOTO NSTP
FAHMI, gambar fail. FOTO NSTP
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memulakan proses proses libat urus dengan penyedia platform besar seperti Google, Meta, dan TikTok bagi mengembalikan hasil perbelanjaan pengiklanan kepada organisasi media di negara ini.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu dijangka akan sedikit sebanyak membantu industri media menjana pendapatan tambahan.

Katanya, sebagai kerajaan, beliau sendiri perlu memainkan peranan untuk memastikan nasib kakitangan media di negara terbela.

"Apabila organisasi media tidak dapat menjana pendapatan yang baik, nasib kakitangan media akan terjejas dan mungkin ke tahap hilang kerja. Sebagai kerajaan, saya perlu ambil tanggungjawab, atas kapasiti menteri, untuk membantu sedaya saya.

"Antara permintaan industri media tempatan adalah untuk kerajaan membantu mereka mendapatkan semula hasil perbelanjaan pengiklanan. Ketika ini keuntungan dikaut oleh syarikat gergasi teknologi antarabangsa," katanya yang menciap perkara itu Twitter, hari ini.

Fahmi dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan KKD, semalam dilaporkan berkata, kementeriannya juga berhasrat untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) supaya hasil perbelanjaan pengiklanan sedikit sebanyak dikembalikan demi kelangsungan organisasi media di negara ini.

Beliau berkata, penggubalan RUU itu perlu dilakukan kerana tidak mahu melihat lebih ramai pengamal media kehilangan kerja atau terpaksa hadapi keadaan Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

Katanya, hasrat kerajaan itu juga bagi menghantar isyarat kepada syarikat gergasi seperti Google, Meta dan TikTok supaya diadakan pertemuan membincangkan perkara berkaitan kerana keadaan itu sedikit sebanyak disebabkan oleh perbelanjaan pengiklanan dibawa ke luar negara oleh syarikat gergasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 7:56 PM