MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Usahawan Cina sedunia ke 17. FOTO Hazreen Mohamad
MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Usahawan Cina sedunia ke 17. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian untuk tidak bersetuju pengampunan diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata biarpun PH tidak bersetuju, gabungan berkenaan tidak mencampuri urusan berkaitan pengampunan terbabit.

"Itu memang pendirian kita (PH), cuma proses pengampunan ini, ada proses tertentunya dan akhirnya ia adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

"Namun jika ingin bertanya sama ada bersetuju, sebagai PH kami tidak bersetuju dan kami juga tidak mencampuri urusan terbabit," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program 'Power Chat' dan Pelancaran Rasmi Konvensyen Usahawan Cina Sedunia Ke-17 anjuran Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.

Rafizi berkata, biarpun tidak bersetuju dengan pengampunan terbabit, Najib berhak membuat permohonan untuk diampunkan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

"Sama ada kita bersetuju atau sebaliknya, akhirnya ia terpulang kepada mereka yang memiliki mandat (untuk memberi pengampunan), dan ia bukan (daripada) kerajaan," katanya.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Mohd Nazlan sehubungan itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos tahun lalu.

Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun memfailkan petisyen pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan (PP) pada 2 September 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 7:35 PM