MOHAMED Nor Azmi dipenjara lima tahun atas kesalahan pecah amanah. FOTO Ihsan SPRM.
MOHAMED Nor Azmi dipenjara lima tahun atas kesalahan pecah amanah. FOTO Ihsan SPRM.
Suraya Roslan


Shah Alam: Seorang bekas guru besar dihukum penjara lima tahun dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah wang sumbangan zakat berjumlah RM75,000 pada empat tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamed Nor Azmi Darno, 56, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamed Nor Azmi yang ketika itu bertugas sebagai guru besar sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh didakwa melakukan pecah amanah secara menyalahgunakan wang sumbangan zakat Malaysia Building Society Berhad untuk murid asnaf bagi program Pemberian Sumbangan Hari Raya 2019.

Tertuduh didakwa menyalahgunakan wang sumbangan terbabit, masing-masing berjumlah RM5,000, RM40,000 dan RM30,000 untuk kegunaan dirinya sendiri dan tidak mengagihkan kepada murid asnaf sekolah berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda.

Mohamed Nor Azmi didakwa melakukan perbuatan itu di cawangan sebuah bank dekat Saujana Utama, Sungai Buloh pada 17 dan 19 Jun 2019.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin dan pegawai pendakwa, Mohd Aliff Shahruzaman manakala tertuduh diwakili peguam Nur Asikin Mohamed Yusof.

Nur Asikin kemudian memohon untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman namun dibantah pihak pendakwaan.

Rozilah kemudian menolak permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Sebelum ini, media melaporkan Mohamed Nor Azmi mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 3:43 PM