Nuraliawati Sabri


Melaka: Buntu mahu melangsaikan hutang ceti haram (along) berjumlah RM500,000 menyebabkan dua lelaki bertindak membakar tiga kenderaan milik mereka bagi membolehkan tuntutan insuran dilakukan.

Dalam kejadian Isnin minggu lalu, tiga kenderaan mewah model Bentley Continental GT(A), Ford Fiesta dan Hyundai Accent dilaporkan terbakar dalam kejadian di Taman Merdeka Batu Berendam di sini.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, polis segera menjalankan siasatan lanjut susulan tiga laporan diterima pihaknya termasuk daripada pemilik Bentley itu.

"Bagaimanapun hasil siasatan dijalankan pihak polis mendapati terdapat keraguan sebelum polis menahan kedua-dua suspek.

"Suspek pertama yang juga pemilik kereta Bentley ditahan pada hari kejadian manakala seorang lagi ditahan keesokannya di sekitar Bandaraya Melaka. Kedua-dua mereka berusia 36 tahun," katanya pada sidang media di Balai Polis Sungai Udang, di sini, tadi.

ABDUL Majid (kiri) menunjukkan kereta yang dibakar ketika sidang media. FOTO Syafeeq Ahmad
ABDUL Majid (kiri) menunjukkan kereta yang dibakar ketika sidang media. FOTO Syafeeq Ahmad

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, hasil siasatan dijalankan turut mendapati kedua-dua ditahan bekerja sebagai kontraktor dan jurujual.

"Mereka dipercayai merancang perbuatan itu sejak tiga bulan lalu. Mereka dipercayai membakar kereta itu untuk membuat tuntutan insuran berjumlah kira-kira RM250,000 bagi membayar hutang Along sebanyak RM500,000.

"Malah semakan lanjut dilakukan turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes khianat dengan api, samun dan curi termasuk dadah," katanya.

Menurut beliau, kedua-dua lelaki itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan selain kertas siasatan juga sudah dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 6:33 PM