GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Lebih 300 peniaga makanan India Muslim atau Mamak di negeri ini bercadang menaikkan harga makanan berasaskan beras sebanyak 10 peratus susulan kenaikan harga bahan mentah itu.

Bagaimanapun Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor, Hussien Ibrahim, berkata, hasrat berkenaan ditangguhkan buat sementara waktu susulan arahan Persatuan Restoran Muslim Malaysia yang menaungi Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor.

Katanya, persatuan berkenaan dijadual mengadakan pertemuan dengan kerajaan termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebelum mengambil langkah seterusnya.

"Lebih 300 peniaga makanan India Muslim atau Mamak kini semakin tersepit susulan harga beras tempatan dan import dibekal pembekal mengalami kenaikan sehingga 10 peratus.

"Sebelum ini harga beras tempatan yang dibeli secara pukal ahli persatuan di Johor hanya sekitar RM16 bagi pek 10 kilogram (kg) namun ia kini naik kepada RM24.

"Begitu juga harga beras import yang dibeli pukal sebelum ini dibekalkan pembekal pada harga RM22 bagi pek 10 kg namun kini ia naik lebih RM28," katanya tadi.

Pada 1 September lalu, Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dilaporkan menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan berkuat kuasa hari berkenaan.

BERNAS dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, langkah pelarasan itu juga sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun, harga beras tempatan dilaporkan kekal RM2.60 sekilogram, menyebabkan bekalan beras berkenaan dilaporkan berkurangan di pasaran susulan menjadi rebutan pengguna.

Dalam pada itu, Hussein berkata, jika tiada langkah penyelesaian susulan kenaikan mendadak harga beras tempatan dan import yang dibekalkan pembekal kepada lebih 300 peniaga makanan India Muslim di negeri ini, langkah kenaikan harga makanan berasas beras tidak dapat dielakkan.

Katanya, ketika ini peniaga bukan sahaja terbeban dengan kenaikan harga beras malah beberapa barang keperluan lain termasuk telur dan lada kering, antara ramuan yang paling banyak digunakan.

"Kami menggunakan beras tempatan bagi memasak nasi putih dan nasi lemak manakala beras import untuk nasi beriani.

"Ketika ini harga nasi putih masih kekal RM1.50 sepinggan manakala nasi beriani kosong pula RM10 sepinggan.

"Namun jika isu kenaikan harga beras terus berlaku, kami terpaksa naikkan harga naik putih kosong kepada RM1.80 sepinggan manakala nasi beriani kosong pula dinaikkan kepada RM12 sepinggan, membabitkan kenaikan 10 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 4:17 PM