ANTARA baju kurung pelbagai fesyen yang digayakan Samantha.
ANTARA baju kurung pelbagai fesyen yang digayakan Samantha.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Fasih berbahasa Melayu selain manis menggayakan baju kurung yang juga busana tradisional masyarakat Melayu tidak melenyapkan identiti wanita berketurunan Tionghoa ini, sebaliknya menunjukkan kekuatan hubungan majmuk dalam negara berbilang kaum ini.

Samantha Tan Pei Ying, 31, anak jati Teluk Intan, Perak mengakui 'jatuh cinta' dengan baju kurung yang juga pakaian kebangsaan sejak di sekolah rendah kerana lebih selesa, dilihat sopan dan tertarik dengan gaya tradisional.

Sehingga kini, pegawai media sosial (jualan dan pemasaran) di sebuah syarikat di ibu kota ini mempunyai lebih 100 koleksi baju kurung pelbagai fesyen yang dikumpulnya sejak sekian lama, terutama ketika menuntut di universiti.

Minat pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Teater) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Tanjung Malim itu terhadap baju kurung menyerlahkan aura kemelayuannya namun tidak melenyapkan identiti bangsanya.

Samantha berkata, selain baju kurung, dia juga peminat batik Malaysia dan kebanyakan baju kurungnya mempunyai unsur batik yang biasanya dibeli di Kraftangan Malaysia atau pada Hari Kraftangan Malaysia.

"Saya mula minat memakai baju kurung sejak sekolah rendah apabila melihat rakan lain (orang Melayu) memakai baju kurung ke sekolah selain memakai seragam pinafore, malah sehingga kini saya masih suka memakai baju kurung.

"Sehingga kini, saya ada lebih 100 koleksi baju kurung dan hampir semua fesyen saya miliki. Bagaimanapun, fesyen kegemaran ketika ini ialah kurung Pahang, kebarung labuh, kebaya labuh selain saya juga sukakan selempang selendang di bahu," katanya.

Menurutnya, dia selalu menggayakan baju kebangsaan itu ketika bekerja, menghadiri majlis rasmi dan kenduri kahwin serta mengakui lebih suka menempah baju kurung kerana lebih selesa mengikut fesyen pilian dan dekorasi tambahan.

"Koleksi baju ini saya beli yang sudah siap atau ditempah. Selain batik, saya juga suka kain sari dijadikan baju kurung," katanya yang turut mempunyai koleksi pelbagai pakaian tradisional kaum Tionghua.

Menurutnya, baju kurung dan baju Melayu dipilih sebagai baju kebangsaan dan ia wajar dimartabatkan.

Bagaimanapun, katanya, ia sama sekali tidak akan melenyapkan identiti sesuatu bangsa kerana semua orang masih boleh memakai baju tradisional kaum masing-masing dengan penuh rasa bangga.

"Kita perlu buang skeptikal baju kurung adalah hanya khusus untuk orang Melayu saja. Semua kaum boleh memakai pakaian tradisional kaum lain, cuma baju kurung adalah baju kebangsaan kita.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersama-sama memartabatkan baju kurung.

"Saya berpandangan, pembaca berita di televisyen contohnya, disaran memakai baju kebangsaan bagi memupuk perasaan cinta dalam kalangan rakyat sekali gus dapat memartabatkan baju kebangsaan kita," katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 8:00 AM