Penyertaan dibuka dari 1 September hingga 17 September 2023. - FOTO Big Tree
Penyertaan dibuka dari 1 September hingga 17 September 2023. - FOTO Big Tree
Muhamad Shaifullah Tayep

Kajian Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) Kebangsaan mendapati bahawa satu daripada tiga warganegara Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

Memandangkan kesihatan mental adalah kritikal bagi setiap individu untuk pembangunan peribadi, komuniti dan sosioekonomi, peneraju pasaran industri pengiklanan luaran Malaysia, Big Tree Outdoor (Big Tree) melancarkan kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Apa Khabar?.

Apa Khabar? dilancarkan bertujuan untuk meningkatkan semangat rakyat Malaysia sebagai inisiatif memberi sokongan kepada kesedaran kesihatan mental melalui paparan mesej positif dan gambar rakyat Malaysia di papan iklan digital luar (DOOH).

Kempen yang lebih dikenali sebagai #ApaKhabarBigTree itu diharapkan dapat memanfaatkan kekuatan dan pengaruh DOOH untuk mengingatkan rakyat Malaysia supaya bertanya khabar kepada orang tersayang sekaligus memberi mereka peluang untuk menyebarkan mesej positif dan juga memaparkan diri mereka di papan iklan DOOH di sekitar Lembah Klang.

Ketua Pegawai Operasi Big Tree, Stephanie Wong, berkata orang ramai lazimnya berkongsi hal peribadi mereka kepada orang tersayang saja dan tidak akan memikirkan platform seperti DOOH untuk berkongsi sebarang mesej peribadi mereka.

Katanya, masyarakat harus mengubah persepsi itu dan mendorong rakyat untuk mengamalkan perbincangan isu kesihatan mental secara terbuka.

"Kita juga tidak biasa memulakan amalan bertanya khabar kepada orang tersayang, apatah lagi membabitkan topik sensitif seperti isu kesihatan mental.

"Oleh itu, kami berharap kempen #ApaKhabarBigTree ini bukan saja menggalakkan rakyat Malaysia untuk meningkatkan semangat satu sama lain melalui paparan mesej dan gambar positif di papan iklan DOOH di seluruh Lembah Klang sepanjang kempen ini, tetapi juga mengingatkan mereka untuk sentiasa bertanya khabar kepada orang tersayang.

"Kami berharap inisiatif ini secara tidak langsung meningkatkan lagi kesedaran orang ramai terhadap isu kesihatan mental," katanya.

#ApaKhabarBigTree mendorong setiap rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas untuk merebut peluang bagi memaparkan mesej positif dan gambar mereka di papan DOOH Big Tree di sekitar Lembah Klang.

12 pemenang peraduan ini akan terpilih untuk menerima hadiah-hadiah menarik seperti muncul di papan DOOH Big Tree dari 10 hingga 31 Oktober 2023, menerima e-baucar WOWSHOP bernilai RM50 dan memenangi dua sesi konsultasi percuma bersama pakar kesihatan mental. Sesi konsultasi tersebut boleh digunakan oleh pemenang atau dihadiahkan kepada orang tersayang.

Penyertaan dibuka dari 1 September hingga 17 September 2023.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, sila layari www.bigtree.com.my/apakhabar atau ikuti Big Tree di media sosial Facebook dan Instagram di @bigtreeoutdoormy.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 11:56 AM