Syarifah Dayana Syed Bakri


KUALA LUMPUR: Big Tree Outdoor Sdn Bhd (Big Tree), anak syarikat milik Media Prima Bhd (MPB) memperkenalkan produk terbaharu pengiklanan luar rumah (OOH) yang dikenali sebagai Big Plus (Big+).

Pelancaran ini juga menandakan evolusi serta transformasi bagi Big Tree serta industri secara keseluruhannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shukor Ariffin berkata, di bawah Big Plus, terdapat tiga produk pengiklanan digital seperti Big Capture, Big Scan dan Big Effects yang dihubungkan dengan keupayaan dalam talian yang canggih.

Beliau berkata, ia juga bertujuan menyasarkan rakan kongsi perniagaan, pengiklan dan agensi media untuk menggunakan produk baru berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan geofence.

“Menerusi Big Plus, kami yakin pengiklan dapat merasai pengalaman pembelian media OOH yang sentiasa berevolusi serta lebih berkesan.

“Produk ini mempunyai keupayaan menghubungkan pengguna melalui iklan OOH dan seterusnya ia menyasarkan mereka melalui peranti mudah alih.

“Seterusnya, pengguna dapat memberi maklum balas segera terhadap iklan dipaparkan apabila melihat produk atau perkhidmatan diiklankan di media OOH sama ada statik atau digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Big Plus yang bertemakan Bridging Experience di sini, semalam.

Big Capture menggunakan teknologi geofence yang memaparkan gegantung dalam talian apabila berada di lokasi yang ditetapkan manakala Big Scan pula menggunakan teknologi pengimbasan imej OOH visual statik atau digital dengan peranti pintar.

Big Effects mempunyai kandungan digital dinamik di mana mesej dari jenama pengiklan direka dengan pengaruh seperti cuaca, jenis kenderaan, pembabitan sosial, wajah dan perkhidmatan penstriman.

Setakat ini, Big Tree mempunyai 500 pelanggan sedia ada dan dengan produk pengiklanan digital terbaharu itu, syarikat optimis untuk mencapai 10 peratus peningkatan.

Menurut Shukor, sebagai permulaan, pihaknya tidak meletakkan sasaran tinggi kerana pengiklan sedia ada juga boleh menggunakan platform produk baharu itu.

“Malah, ia antara usaha syarikat merapatkan jurang antara kesedaran dan pertimbangan serta peningkatan interaksi selain mencipta peluang bagi sasaran pemasaran.

“OOH akan sentiasa kekal relevan disebabkan ia lebih kos efektif dan boleh didapati pada bila-bila masa sepanjang tahun dengan peratusan mengingati jenama yang tinggi sehingga 80 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 6:45 AM