KILANG menjalankan proses pembakaran bateri terpakai tanpa kelulusan JAS  dikawasan Taman Industri Kulai ditahan operasi. FOTO Ihsan JAS
KILANG menjalankan proses pembakaran bateri terpakai tanpa kelulusan JAS dikawasan Taman Industri Kulai ditahan operasi. FOTO Ihsan JAS
Omar Ahmad


Kulai : Sebuah kilang yang dahulunya menjalankan proses membuat arang di Taman Industri Kulai di sini, ditahan operasi, berkuat kuasa hari ini, selepas dikesan menjalankan proses pembakaran bateri terpakai tanpa kelulusan berikutan pencemaran asap.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Mohd Famey Yusoff berkata, penahanan operasi dan penyitaan barangan dibuat selepas pemeriksaan dijalankan pasukan penguat kuasa JAS di sebuah premis berdasarkan aduan yang diterima daripada penduduk tiga hari lalu.

"Hasil siasatan mendapati premis menjalankan proses pembakaran bateri terpakai tanpa sebarang kelulusan daripada JAS.

"Tindakan penahanan operasi dan penyitaan barangan dilakukan untuk siasatan lanjut .

"Semasa pemantauan petang semalam tiada asap dikeluarkan, tetapi apabila lawatan susulan dibuat pada waktu malam terdapat asap (pencemaran) dikeluarkan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Famey berkata, sampel sudah diambil untuk tujuan analisa oleh Jabatan Kimia.

"JAS Johor mengingatkan pihak pemain industri supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta memastikan sebarang pencemaran alam sekitar tidak berlaku yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

"Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan berkaitan pencemaran alam sekitar talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke [email protected] atau ke portal aduan https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 7:45 PM