KESALAHAN dilakukan syarikat itu dikesan pada 11 Ogos 2020. FOTO ihsan JAS Selangor
KESALAHAN dilakukan syarikat itu dikesan pada 11 Ogos 2020. FOTO ihsan JAS Selangor
Norzamira Che Noh


Klang: Sebuah syarikat didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati menjalankan aktiviti membina serta mengitar sisa pepejal plastik terpakai tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, syarikat berkenaan didakwa menjalankan aktiviti terbabit tanpa mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang diluluskan oleh jabatan terbabit.

Katanya, syarikat itu juga gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada JAS mengenai pemasangan peralatan yang menjadi punca pengeluaran pencemar udara.

"Hakim Razali Ariffin menjatuhkan hukuman itu selepas pengarah syarikat berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan kepadanya.

"Syarikat berkenaan dituduh melakukan dua kesalahan itu pada 11 Ogos 2020 di sebuah premis di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

"Syarikat itu dituduh mengikut Seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 akta yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Aziah berkata, membina dan menjalankan aktiviti mengitar sisa pepejal plastik termasuk dalam Jadual Pertama Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 yang mana laporan EIA perlu dikemukakan dan diluluskan terlebih dulu oleh JAS sebelum mana-mana pengusaha industri memulakan dan menjalankan aktiviti berkenaan.

Katanya, JAS Selangor sentiasa akan mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar.

"Terima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat mengenai aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

"Laporan mengenai aktiviti pencemaran alam sekitar boleh terus dibuat di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 9:29 PM