KUALA LUMPUR 25 OGOS 2023. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid bercakap ketika sidang media bersempena ambang dan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-66 di IPK Kuala Lumpur. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR 25 OGOS 2023. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid bercakap ketika sidang media bersempena ambang dan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-66 di IPK Kuala Lumpur. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menerima tiga lagi laporan daripada ibu bapa membabitkan kes dera di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Permaisuri, Cheras setakat semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sebelum ini pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat oleh bapa yang mendakwa anak perempuannya berusia dua tahun didera di pusat jagaan terbabit pada Isnin lalu.

"Susulan laporan pertama itu, ada ibu bapa yang terkesan dan tampil membuat laporan...setakat ini keseluruhan kita menerima empat laporan membabitkan empat kanak-kanak membabitkan kes dera di pusat jagaan itu,

"Kecederaan membabitkan kanak-kanak itu masih dalam proses pemeriksaan dan kita menunggu laporan daripada pihak hospital," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Rawatan Kesihatan Perubatan Tradisional Cina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, keterangan daripada ibu bapa terbabit sudah diambil termasuk seorang wanita yang ditahan pada Isnin lalu kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan di pusat jagaan sama.

Allaudeen berkata, siasatan hampir selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat bagi tindakan selanjutnya.

Terdahulu tular dua video masing-masing berdurasi seminit 10 saat dan 56 saat melalui Facebook memaparkan seorang wanita mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di sebuah pusat jagaan kanak-kanak.

Harian Metro kelmarin melaporkan pengasuh pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Permaisuri ditahan selepas didakwa mencederakan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sehingga tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, polis mengesan dua klip video berdurasi satu mini 10 saat dan 56 saat di aplikasi Facebook yang memaparkan seorang wanita mencederakan kanak-kanak itu hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pada jam 11.28 pagi semalam, bapa mangsa membuat satu laporan polis berkenaan kejadian penderaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 6:47 PM