Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
BERNAMA

Johor Bahru: Tindakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan 'fatwa politik' haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai Sabtu ini, adalah akibat terpengaruh dengan sekutunya, Pas.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pendekatan Pas yang dibawa Presidennya, Abdul Hadi Awang boleh membuatkan rakan sekutunya terikut-ikut dan terpengaruh.

"Saya sendiri tidak terkejut sama sekali (fatwa haram) kerana parti yang Muhyiddin dampingi sekarang ini adalah parti Pas. Pas sekarang tidak seperti zaman Allahyarham Yusof Rawa, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, Haron Din, Datuk Yahya Othman, ia berbeza... ini nama-nama yang sangat menjaga akhlak politik mereka.

"Tapi Pas sekarang di bawah Abdul Hadi Awang... kuasa adalah segala-galanya. Kekuatan Pas sekarang ini diukur dengan jumlah kerusi yang dimenangi. Kempen di Johor pun Hadi masih meratib perkara sama iaitu menang di Pulai ertinya jatuh Kerajaan Perpaduan.

"Sifir matematiknya tidak masuk akal langsung tetapi masih diungkap. Apabila lama berkawan (Muhyiddin dan Pas) ternyata beberapa perkara, pendekatan dan tabiat seperti itu, sekarang menjadi ikutan pula parti Bersatu. Ini sesuatu yang sangat malang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Ceramah Perpaduan Pulai di Taman Dahlia di sini, malam semalam sebagai mengulas tindakan Muhyiddin yang melarang pengundi Parlimen Pulai untuk mengundi calon PH itu dengan yang mengeluarkan 'fatwa haram' ketika berkempen dalam Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN), Ahad lepas.

PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 9:27 AM