Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Tiga sindiket penipuan tumpas dalam tiga serbuan berasingan di sekitar ibu negara di sini baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan pertama pada 19 Mac membabitkan sindiket penipuan dalam talian di sebuah premis kediaman di Segambut, di sini.

Menurutnya, dua wanita tempatan berusia 24 dan 28 tahun berperanan sebagai penyelia dan pegawai khidmat pelanggan ditahan di premis yang dipercayai dijadikan pusat panggilan sindiket itu.

"Polis telah merampas 13 unit telefon bimbit, dua unit laptop, dua unit router, satu set kunci rumah dan sebuah kenderaan jenis Toyota Supra.

"Siasatan mendapati sindiket ini merupakan sebahagian daripada 'unit kewangan' yang menguruskan akaun-akaun bank 'mule' Singapura yang digunakan untuk aktiviti penipuan dalam talian," katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini hari ini.

Ramli berkata, sindiket terbabit berperanan mencari keldai akaun dari Singapura untuk transaksi pemindahan wang dari akaun keldai yang lain.

Dalam serbuan kedua, JSJK berjaya menumpaskan sindiket penipuan perniagaan menerusi serbuan pada 25 Mac di Jalan Ampang, di sini.

Katanya, dalam serbuan itu 19 individu terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita warga tempatan serta enam lelaki dan lima wanita warga China berusia lingkungan 22 hingga 55 tahun berjaya ditahan.

"Kita terima laporan daripada seorang lelaki warga Taiwan yang mendakwa ditipu selepas dipelawa rakannya menerusi WeChat pada Januari lalu untuk menyertai skim perniagaan jual beli barangan secara dalam talian melalui Syarikat Amazon Joint Operation.

"Mangsa diyakinkan perniagaan tersebut adalah cawangan daripada syarikat Amazon di Amerika Syarikat dengan keuntungan 10 peratus seminggu daripada jumlah wang yang dilaburkan sebelum melabur sejumlah USDT 70,000 (RM331,000) ke dalam akaun e-wallet yang diarahkan," katanya.

Bagi kes ketiga Ramli berkata, pihaknya menumpaskan sindiket penipuan dalam serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Pinang di sini.

"Tujuh warga tempatan dan lima warga China berjaya diberkas dengan rampasan empat komputer riba, satu Ipad, tujuh telefon bimbit, satu modem, satu router, satu kad akses rumah dan satu kunci rumah.

"Sindiket yang beroperasi di unit berkenaan lebih kurang sebulan lalu disyaki terbabit dengan penipuan pelaburan secara dalam talian menggunakan platform X dan Discord yang menyasarkan warga China," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 6:02 PM
engarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan barangan yang dirampas ketika sidang media di Menara KPJ, Kuala Lumpur. FOTO FARHAN RAZAK
engarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan barangan yang dirampas ketika sidang media di Menara KPJ, Kuala Lumpur. FOTO FARHAN RAZAK