Ahmad Ismail

Segamat: Kakak kepada mangsa kemalangan maut enam beranak di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan di sini, semalam masih terkejut dan tidak menyangka tragedi berlaku ke atas keluarganya.

Norhayati Noor Muhamad, 51, berkata, jika sebelum ini biasa melihat dan dengar berita kemalangan berlaku membabitkan satu keluarga sekaligus, namun semalam berlaku ke atas keluarga juga adiknya sendiri, Norahimah, 43.

"Memang masih terkejut dan tidak sangka. Kemalangan ini melibatkan keluarga adik saya. Dia anak ketiga, saya anak kedua, dari empat beradik.

"Kami reda dan memang sejarah dugaan berat dalam keluarga kami," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Daerah Segamat di sini, hari ini.

Norhayati yang juga guru agama berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan keluarga adiknya itu pada Ahad minggu lalu ketika majlis perkahwinan adik bongsu, Norahila, 36, di rumah ibu mereka di Parit Jawa, Muar.

Menurutnya, ketika kenduri tersebut, Noorahimah sempat berseloroh untuk mengambil gambar sebagai kenang-kenangan sebelum salah seorang daripada adik-beradik mereka pergi dijemput Ilahi.

"Semasa kenduri hari itu, arwah minta bergambar beramai-ramai. Dia cakap mana tahu salah seorang daripada kita pergi dahulu, boleh buat kenang-kenangan.

"Rupanya semalam, dia sekeluarga pergi buat selamanya," katanya.

Dalam pada itu, Norhayati berkata, dia menerima perkhabaran duka itu kira-kira 7.28 malam dariapada saksi kejadian.

Orang awam itu menghantar gambar melalui WhatsApp selepas mendapatkan nombor telefon seorang daripada anak mangsa.

"Dia (saksi kejadian) cakap kalau nak tahu apa-apa boleh hubungi Balai Polis Segamat, tetapi saya terus 'call' (menelefon) dia dan dapat sahkan memang itu keluarga adik saya," katanya.

NORHAYATI Noor Muhamad. FOTO Ahmad Ismail
NORHAYATI Noor Muhamad. FOTO Ahmad Ismail

Norhayati berkata, Noorahimah merupakan seorang adik yang ceria dan periang serta ibu yang tegas.

"Dia seorang yang 'happy-go-lucky,' nak kata garang tidak cuma dia seorang ibu yang tegas," katanya.

Nohayati berkata, adik iparnya, Amir Ruddin Ismail, 46, bersama isteri serta tujuh anaknya dalam perjalanan dari Ladang Tereh Utara, Kluang untuk menghantar Noorahimah (isteri mangsa) pulang ke rumah di Felda Kemedak.

Jelasnya, Noorahimah juga merupakan seorang guru agama di Sekolah Agama Felda Kemedak di sini.

Polis mengesahkan enam beranak maut dalam kemalangan di kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, di sini, semalam.

Mangsa dikenal pasti Amir Ruddin serta isterinya Norahimah, serta anak Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Berita berkaitan:

'Tak terlintas di fikiran saya akan jadi anak yatim piatu sekelip mata'

Air mata sambut ketibaan jenazah enam beranak

'Arwah seorang imam, kerap nasihat soal kematian, tidak leka hal duniawi'

Nahas 5 kenderaan: Polis sahkan 6 beranak maut, identiti dikenal pasti

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 1:05 PM