MOHD Izad membantu datuknya, Wan Ismail Wan Seman untuk mengundi di SMK Kampung Laut. FOTO Siti Rohana Idris.
MOHD Izad membantu datuknya, Wan Ismail Wan Seman untuk mengundi di SMK Kampung Laut. FOTO Siti Rohana Idris.
Siti Rohana Idris


Tumpat: "Datuk memang sudah uzur tapi dia masih tahu untuk mengundi dan memilih calon pilihannya," kata Mohd Izad Mohd Nasir dari Kampung Laut di sini.

Mohd Izad, 22, hadir menemani datuknya, Wan Ismail Wan Seman, 77, yang berkerusi roda dan turut membantu warga emas itu menandakan kertas undi.

Mohd Izad berkata, datuknya mengalami masalah saraf serta pendengaran yang memerlukannya membantu warga emas itu mengundi.

"Datuk tidak boleh memegang pen dan saya membantunya menanda di petak calon pilihannya apabila ditunjukkan.

"Walaupun dia sudah uzur tapi masih tahu cara mengundi dan memilih calon pilihan dengan menunjukkan kepada saya petak mana yang ingin ditanda pangkah," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi pengundi warga emas dari Kampung Gerong, Nik Jawahir Wan Long, 77, sangat teruja untuk hadir ke pusat pengundian hari ini dan sejak semalam lagi sudah berpesan kepada anak cucunya agar membawanya datang ke pusat pengundian undi hari ini.

Nik Jawahir berkata, walaupun agak lewat tiba di SMK Kampung Laut iaitu kira-kira jam 12 tengah hari kerana perlu menunggu anaknya mengundi di pusat pengundian lain terlebih dulu, dia berasa lega kerana dapat menunaikan tanggungjawab itu.

"Pilihan raya sentiasa dinantikan kerana ingin merasai kemeriahan yang hanya datang lima tahun sekali.

"Sejak semalam lagi saya sudah berpesan kepada anak-anak agar membawa saya ke tempat mengundi selain mengingatkan mereka supaya jalankan tanggungjawab yang sama," katanya yang berkerusi roda kerana kecederaan lutut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 2:33 PM